Tuesday, June 29, 2010

from my sister

Cabaran Usahawan Internet Sepenuh Masa

Sebelum saya mula menjadikan keusahawanan Internet sebagai kerjaya sepenuh masa, saya pernah bekerja selama setahun. Walaupun kerja yang saya lakukan itu adalah berkaitan dengan bidang yang saya pelajari di Universiti, namun saya mula berputus-asa dengan kerja itu.

Saya bukanlah bosan sepenuhnya dengan kerja yang diamanahkan kepada saya, malah saya seronok melakukannya dan orang lain pun merasakan pentingnya kehadiran saya pada waktu tersebut.

Namun, akibat saya ‘disalahgunakan’ untuk kepentingan beberapa orang, lantas saya tekad berhenti kerja dan fokus kepada perniagaan Internet tanpa menoleh ke belakang lagi. Malah saya rasakan, kelebihan diri saya mempunyai potensi yang besar di dalam bidang keusahawanan dan sama sekali tidak wajar saya menyeksa diri sendiri dengan bekerja makan gaji.

Dilema Usahawan Internet Sepenuh Masa

Kebiasaannya, keluarga sendirilah yang menjadi ‘musuh’ kepada keinginan kita untuk menjadi usahawan sepenuh masa. Tidak kisahlah usahawan internet atau usahawan biasa. Bila kita kata mahu berniaga dan tidak mahu makan gaji, mereka amat terkejut, marah dan paling teruk mengatakan kita ‘gila’.

Dalam soal ini, saya tidak mahu mengatakan mereka salah, cuma mereka tidak memahaminya sahaja. Saya yakin, kalau mereka tahu besarnya manfaat berniaga, sudah pasti mereka amat mahu kita lakukan bisnes. Sebaliknya, inilah realiti hidup, manusia amat takut dengan dunia yang mencabar (zon tidak selesa), lagi-lagi bidang yang mereka tak tahu menahu.

Andaikata keluarga anda menentang, pertama sekali, cuba usahakan mendapat restu daripada ibu bapa (terutama ibu). Restu mereka amat penting dalam segenap usaha kita. Kedua, cuba luangkan sedikit masa untuk menerangkan kepada mereka mengenai perniagaan yang anda lakukan, lagi-lagi perniagaan Internet yang masih baru di minda orang Malaysia.

Persoalan di sini, bagaimana jika tidak mendapat restu ibu bapa? Jika menurut saranan Dr. Rusly dari bukunya “Aku Tak Nak Miskin”, beliau menyarankan kita berhijrah ke satu tempat yang jauh daripada keluarga dan pihak yang menentang. Kemudian, berusahalah sampai berjaya.

Jika mengikut Dr. Rusly, anda boleh cari kerja dahulu di tempat baru dan bagitahu keluarga anda mendapat kerja di sana. Tapi dalam masa yang sama, anda lakukan perniagaan dan berhenti kerja bila tiba masanya. Saya juga yakin, jika niat hijrah kita baik dan ikhlas, Allah pasti akan bantu kita.

Manusia secara psikologinya hanya mempersoalkan usaha kita pada peringkat awal sahaja. Tapi apabila kita sudah berjaya, bergaya, mewah, berharta, semuanya senyap membisu. Malah yang tak mengaku saudara sebelum ini pun akan mengaku saudara. Usahalah sampai berjaya untuk membuktikan bahawa kerjaya usahawan juga mempunyai kedudukan yang sama hebat dengan kerjaya lain.

Jalan berhijrah tadi adalah jalan tekad dan pasrah. Niatkan dalam hati, jika anda tidak berniaga, sampai bila hidup anda akan berubah, dan sampai bila keluarga anda tidak senang-senang? Semoga dengan niat ini, Allah sediakan jalan yang luas dan senang dilalui.

Niat Sebagai Jihad

Sebagai seorang muslim, adalah satu kebaikan jika menjadikan apa sahaja yang diusahakan (termasuk perniagaan) sebagai satu bentuk jihad. Jihad ini tidak semestinya di medan perang, tetapi apa sahaja jalan yang dilakukan dan ia boleh memberikan kebaikan kepada keluarga, Agama, bangsa dan umat Islam, maka ia termasuk salah satu jihad.

Jadi, jika niat anda murni, tulus, ikhlas dan baik, maka teruskan sahaja perjuangan anda di dalam bidang perniagaan ini secara sepenuh masa. Pastikan juga anda berdoa tanpa rasa putus-asa agar keluarga anda akan menyokong usaha anda juga kelak.

Mengapa sepenuh masa dan mengapa tidak secara part time? Pertama, artikel saya ini adalah khas untuk mereka yang melakukan perniagaan Internet secara sepenuh masa dan sedang mengalami dilema yang dibincangkan. Kedua, melakukan secara sepenuh masa adalah lebih bebas daripada gangguan pihak lain. Ketiga, anda mempunyai banyak masa untuk diluangkan kepada perniagaan.

Jangan Sesekali Berundur

Bagi saya, tidak guna kita bertapak melangkah ke belakang semula jika kita sudah berpijak di atas jalan perjuangan ini (berniaga sepenuh masa). Maksud saya, mengalah dengan kehendak ahli keluarga atau individu terdekat agar kita mencari kerja (makan gaji).

Saya pernah kecewa dan tertekan akibat tekanan yang mereka berikan kepada saya, malah saya hampir berputus-asa dan mahu kembali mencari kerja. Tiada sesiapa di sisi saya melainkan rakan-rakan usahawan. Tapi saya berfikir sejenak, apabila saya sudah menjadi seorang ‘perwira’ dan pejuang, adakah wajar saya kembali menjadi seorang penakut? Tidak mungkin sama sekali. Para pejuang tidak boleh menyerah kalah begitu sahaja.

Dan adakah adil dan bijaksana jika saya meletak diri saya di tempat yang tidak sesuai dengan kebolehan saya? Jika saya bekerja makan gaji dan mengabaikan bisnes, maka saya akan rasa bersalah sebab kelebihan yang Allah kurniakan kepada saya untuk berniaga tidak digunakan untuk kebaikan Agama, umat Islam, bangsa dan negara. Bagi saya, ia satu amanah yang perlu saya laksanakan, sebaliknya bukan bersenang-senang dengan makan gaji.

Biar saya panaskan lagi semangat anda yang mempunyai potensi yang besar untuk berniaga. Adalah satu perkara yang amat memalukan jika anda yang mempunyai bakat berniaga tetapi masih ke sana ke sini meminta-minta kerja. Pendatang lain yang ke Malaysia boleh kaya raya, tapi kita berbeza, masih meminta-minta bantuan orang lain. Mudah ceritanya, “hidup mengemis di tanahair sendiri”.

Saya panaskan lagi diri anda. Jika orang lain beria-ia mahu berhenti kerja dan fokus sepenuh masa kepada perniagaan Internet secara sepenuh masa, sebaliknya anda terbalik, mahu mencari kerja pula. Anda sendiri faham dan tahu, apabila bekerja dengan orang lain, masa akan terhad, tidak bebas dan komitmen/beban anda semakin bertambah. Pendek kata, kita mahu menjadikan hidup ini semakin mudah, bukan semakin menyusahkan.

Manusia Tak Akan Habis Kehendaknya

Bagi anda yang kalah dengan tekanan pihak yang mahu anda bekerja makan gaji, maka ketahuilah, selepas anda bekerja makan gaji, anda tetap ‘dikawal’ oleh mereka. Manusia, bicaranya tak akan habis sampai kiamat.

Jika hari ini mereka mahu kita makan gaji dan kita penuhi kehendak mereka, maka kemudian mereka minta kita lakukan perkara lain pula. Selepas melakukan perkara lain itu, maka datang lagi kehendak mereka yang lain.

Jadi, usah kalah dengan kehendak mereka sebab bicara dan kehendak mereka tak akan habis sampai bila-bila. Hidup jangan dikawal oleh manusia secara ‘kuku besi’, tapi biarlah berpada-pada.

Walaupun saya menyarankan anda yang sedang berniaga sepenuh masa agar terus dengan usaha tersebut, tidak bermaksud melakukannya begitu sahaja. Kenalah ada perancangan, matlamat, produk/servis yang menguntungkan dan ada perancangan kewangan dan kehidupan.

Selain itu, pembinaan diri juga jangan diabaikan seperti menjadi seorang yang bermotivasi, bertenaga, sihat, penampilan diri yang baik, komunikasi yang cemerlang, berakhlak mulia dan sebagainya. Jika semua perkara ini lengkap atau cukup, saya yakin, orang yang menentang kita akan menyokong kita, malah mereka pun mahu turut serta.

Pendek katanya, ubah diri anda! Manakan tidak orang menentang anda, sebab asyik berada di depan komputer sampai lupa makan, tak jaga kesihatan (asyik sakit-sakit), tidur tak terurus, tak bersosial, diri tak terurus dan sebagainya. Maka jangan salahkan mereka jika diri anda tidak berjaya meyakinkan mereka.

Walaupun kerjaya anda adalah usahawan internet , tidak bermakna pakaian tidak perlu kemas, diri kusut masai, tak perlu terlalu profesional dan tak perlu pandai bercakap sangat. Jika ini kepercayaan anda, maka wajarlah orang tidak yakin dan percaya dengan usaha anda. Jadilah usahawan yang bertenaga, ceria dan boleh meyakinkan orang lain.

Akhir kata, semoga maju jaya kepada semua usahawan internet sepenuh masa. Jangan sesekali berundur ke belakang. Teruskanlah menapak ke hadapan, kerana mungkin dengan hanya beberapa langkah sahaja lagi, semua tentangan akan terus lenyap dari pandangan dan kejayaan akan dicapai. Sebaliknya mungkin dengan hanya berundur selangkah sahaja, anda menjemput 1001 kesusahan. Fikir-fikirkan.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment